NEW YORK – Kakitangan pembangun permainan video terkenal, Rockstar Games, kini dilaporkan berdepan isu keselamatan yang serius apabila pejabat mereka menjadi sasaran siri percubaan pencerobohan demi mendapatkan maklumat sulit berkaitan judul yang dinanti-nantikan, Grand Theft Auto VI (GTA 6).
Pendedahan ini dibuat menerusi laporan sumber industri, Kiwi Talkz, hasil temubual bersama salah seorang pekerja Rockstar Games. Laporan tersebut memperincikan bagaimana pihak tidak bertanggungjawab kini bertindak semakin agresif untuk mencuri data dalaman syarikat tersebut.
Menurut sumber, dua taktik utama telah dikesan digunakan oleh penceroboh setakat ini. Taktik pertama melibatkan penggunaan dron yang diterbangkan berhampiran tingkap pejabat bertujuan untuk merakam paparan skrin komputer kakitangan dari luar bangunan.
Selain itu, tahap keselamatan fizikal premis turut diuji apabila terdapat individu yang cuba menceroboh pejabat dengan menggunakan pas pekerja palsu untuk melepasi kawalan keselamatan pintu masuk.
Susulan insiden-insiden yang membimbangkan ini, timbul khabar angin bahawa pihak pengurusan Rockstar mungkin sedang mempertimbangkan strategi pelancaran secara digital sepenuhnya buat sementara waktu. Langkah drastik ini dikatakan bagi mengelakkan risiko kebocoran awal yang sering berlaku apabila cakera fizikal diedarkan ke kedai-kedai runcit sebelum tarikh rasmi pelancaran.
Tindakan agresif sebegini bukan sahaja dilihat sebagai pelanggaran privasi yang serius terhadap pekerja, malah dikhuatiri boleh merencatkan kelancaran proses pembangunan permainan itu sendiri, sekaligus berpotensi menjejaskan tarikh akhir penyiapan projek mega tersebut.
